Isnin, 27 April 2009

SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU


Assalamualaikum dan salam keamanan buat semua saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Alhamdulillah rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk bernafas dengan sempurna hari ini. Sudah dua hari tidak dapat mencoret dalam tinta IT ini. Bukan apa cuma terlalu sibuk dengan urusandan tanggungjawab duniawi. Alhamdulillah semuanya dapat dibereskan.


Coretan kali ini sekadar berkongsi nostalgia dan realiti bersama insan yang sentiasa di hati ini yang masih ada, IBU. Saya masih ada ibu yang tersayang, namun seorang ayah telah lama menyambut panggilan Illahi. Pada ketika itu saya baru mula bertatih sebagai pendidik, awal tahun 1990-an. Hanya selepas 2 bulan menabur bakti kepada anak bangsa, ayah pergi buat selama-lamanya. Saya redha dengan ketentuan Illahi, malah keyakinan saya semakin kuat untuk berjaya dalam hidup. Terngiang-ngiang nasihatnya di cuping ini, "ayah tidak dapat memberikan kemewahan hidup di dunia ini, sekadar termampu untuk makan dan pakai sahaja. Hanya pelajaran sahaja yang dapat membeli kemewahan dunia yang sementara".

Ayah turut berkata "orang lain boleh berjaya, kenapa kita tidak. Allah kurnai akal fikiran yang sama kepada kita". Selepas almarhum ayah pergi emaklah yang menjadi tempat mengadu sedih, duka perjalanan hidup ini. Saya membesarkan adik-adik dengan rasa tanggungjawab. Emak banyak memberi semangat dan perangsang. Seingat saya ibu pernah berkata "Long semua duit yang along beri emak simpan dan tidak pernah gunakan". Alhamdulillah berkat kesabaran itu, emak telah dipilih dan dijemput Allah s.w.t ke tanah suci Mekah. Kata emak duit yang along bagi selama 5 tahun disimpan dengan niat untuk menunaikan fardhu haji. Hajat emak dimakbulkan Allah. Saya begitu terharu dengan kesungghan emak, dalam keadaan tidak pandai membaca jawi masih mampu sampai ke tanah suci. Subhanallah.


Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, awan mendung mula berarak tiba. Takdir Allah telah menentukan perjalanan hidup hamba-NYA. Bulan Jun 2008 emak disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru. Adik-adik semuanya terkejut dan mula menangis. Emak pula tidak dapat menerima kenyataan ini. Dalam setiap ucapannya mengatakan dia akan mati. Saya tidak mahu tunduk dengan keadaan ini. Saya kuatkan semangat melawan emosi yang sudah mula mencengkam dalam jiwa adik-adik dan emak.


Saya yakin setiap musibah ada hikmah yang Allah tentukan. Saya berkata pada adik-adik kita lawan. Saya bangkit dan bangun dengan kudrat dari Allah untuk melawan penyakit ini. Saya cakap pada emak ajal maut adalah urusan Allah. Sebagai insan-Nya kita tidak boleh mengalah dan berserah. Allah tidak suka dengan orang yang cepat putus asa. Saya yakinkan emak penyakit ini boleh dilawan. Emak setuju untuk menjalani semua rawatan yang perlu. Memang betul dugaan Allah itu sentiasa datang menduga, sehingga adik-adik saya hampir putus asa. Sebagai abang sulung saya tenang terus memberi semangat kepada adik dengan pelbagai motivasi agar mereka tidak mengalah. Akhirnya emak selesai menjalani rawatan. Kini emak masih terus menerima rawatan walupun fizikal semakin uzur. Saya terus kuatkan semangat untuk menghadapi keadaan ini.


Inilah satu-satu ibu yang saya masih ada dan saya sentiasa berdoa agar emak dapat bertahan dengan dugaan yang Allah berikan ini. Ini bukti Allah sayang kepada hamba-Nya dengan menduga pelbagai jenis penyakit. Sebagai insan dugaan ini bertujuan untuk meningkatkan rasa ketakwaan kita terhadap-NYA. Emak along sentiasa berdoa untuk emak


Saya tinggalkan titipan ini dengan bait-bait ini


Ayah dan ibu
Ayah dan ibu

Itulah permulaan kami
Dapat melihat
Bulan dan matahari


Sekian buat masa ini, wassalam salam keamanan

Insani




2 ulasan:

  1. Sedih terasa bila membaca nukilan cikgu,walaupun dah pernah mendengar cerita tapi bila membaca sayu juga hati saya. Bersyukurnya saya masih ada abah dan mak tempat bermanja......

    BalasPadam
  2. Semoga Kak Sepiah mendapat Reda Allah dan di masuk kan ke dalam surga jannatulnaim,,,,,, ALFATIHAH....

    BalasPadam