Jumaat, 28 Ogos 2009

NIKMATNYA ERTI ISTIRAHAT

Assalamualaikum wbt dan salam keamann buat semua saudara.
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Syukur Alhamdulillah kerana diberi peluang dan ruang untuk menitip dalam tinta IT kali ini. Buat semua saudara yang masih sudi membaca tatapan ini agar sentiasa istiqamah dalam mengerjakan amalan yang difardhukan kepada kita. Ingatlah lima perkara sebelum jemputan yang tidak diduga lima perkara. Sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, kaya sebelum miskin, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.
Semua lima perkara yang Allah kurniakan kepada kita tadi hanyalah pinjaman belaka. Tiada satupun yang milik kekal kecuali amalan yang baik , selagi diberi peluang untuk bernafas. Saya mengajak semua saudara untuk merenung sejenak nikmat istirahat ada kaitan dengan bulan yang penuh keberkatan ini.
Istirahatlah perut kita dari makan yang tiada penghujung kepuasannya. Ingat punca segala penyakit bermula dari perut. Maka dengan itu Allah berikan peluang kepada perut dan semua anggota panca indera untuk istirahat dari semua kesukaran dan kemungkaran yang kita lakukan tanpa disedari
Dikurnai mata untuk melihat pelbagai fenomina alam semesta, dikurniai "kuping" untuk menikmati kemerduan pelbagai bunyian, dikurniai nikmat lidah untuk menuturkan apa jua kalimah yang tidak terbatas waktu pengucapannya, dikurnai tangan untuk bekerja selagi mampu kudrat ditanggung. Seterusnya anggota-anggota lain yang Allah pinjam buat pelengkap sekujur tubuh di mana ditiupkan roh ke dalamnya. Bersyukurlah kita dengan kurniaan yang tidak mampu kita hitung seluas laut terbentang, saujana mata memandang langit yang tiada tiang dan banyak lagi kurniaan-Nya.
Oleh itu bulan Ramadhan yang mulia ini, diberikan peluang istirahat untuk semua itu agar kita menjadi Hamba Allah betakwa. Bersama-samalahlah kita lestarikan bumi yang amat fana ini dengan istirahat yang tidak terus melalaikan kita.
Harapan saya saudara semua fikir-fikirkanlah bersama bahawa perjalanan hidup ini kelak akan sampai ke tanda noktahnya. Ingat 3 peluang masa yang Allah berikan kepada kita, gunakan dan muhasabhlah diri selalu agar terus menjadi Insan yang soleh serta solehah.
Sekian, salam keamanan buat semua
Insani

Rabu, 26 Ogos 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK MENGGAMIT KEMBALI

Assalamualaikum wbt dan salam keamanan buat semua saudara
Alhamdulilah masih bernafas lagi

Pertama-tamanya marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt, kerana diberi peluang untuk menghirup nikmat udara secara percuma, mata melihat cerah mentari, kusamnya malam, bergerak dengan kudrat anggota yang masih sempurna.
Salam ramadhan buat semua umat Islam, masih diberi peluang untuk berada dalam ketika ini. Hari ini masuk hari kelima ramadhan dan malam keenam bertarawikh. InsyaAllah. Teringat akan saya nasihat ustaz Ismail Kamus bahawa kehidupan ini diberi 3 peluang masa iaitu masa yang lepas, masa sekarang dan masa esok. Memang ada kebenarannya nafas kita yang bernadi semalam tidak dapat kita ambil kembali, nafas yang kita yang ada ketika ini amat kita syukuri, nafas untuk seketika nanti atau pun esok belum pasti.
Saya mengingat kembali kepada arwah bonda bahawa tahun lepas masih ada mula mengharungi dugaan sakit kanser, tahun ini saya menyambut ramadhan tanpa bonda tercinta. Begitulah segala nikmat pinjaman ini beredar sebelum, sekarang dan selepas. Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah perjalanan ini bernoktah.
Buat saudara seIslam gunakanlah Ramadhan yang ada ketika ini untuk mengumpulkan dan menambahkan sebanyak mungkin amal ibadat. Biarlah kita berfikiran bahawa hari esok itu belum ada kepastian untuk kita menambah amal ibadat. Masa yang diberikan seketika ini pasti digunakan sebijak mungkin. Selalulah kita sama-sama ingat peluang untuk bernafas untuk sebentar lagi ada atau tidak.
Rakan-rakan guru dan anak-anak didik yang dirahmati Allah, marilah kita bersama-sama memanfaatkan gamitan Ramadhan kali ini dengan rasa kesyukuran dengan rasa indah rahmat yang Allah kurniakan, keberkatan perjalanan hidup ini setiap detik dan InsyaAllah beroleh kemenangan sehingga akhir hidup bermusafir seterusnya abadi di alam yang kekal kelak.
Sekian dahulu titipan gamitan Ramadhan tahun 1430 Hijrah, semoga diberi kekuatan dan kelapangan yang berterusan agar 3 peluang masa yang diberi akan meninsafkan kita bersama.
Salam kemananan
Insani