Jumaat, 24 Julai 2009

BESARNYA NIKMAT ALLAH DAN BESAR JUA DUGAAN-NYA

Assalamualaikum dan salam keamanan kepada semua saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi.

Bersyukur ke hadrat Allah kerana masih diberi peluang untuk meminjam sementara waktu udara yang dianugerah secara percuma. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabatya. Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada makhluknya semasa bermusafir di alam fana ini. Daripada sekujur tubuh ini bernadi bermula dari dilahirkan hingga kembali kepada pencipta.
Nikmat yang dianugerahkan itu perlu bijak dilestarikan. Umpamanya lidah dan mulut suatu nikmat yang tidak mampu dibayar oleh insan terhadap pencipta-Nya. Buat para semua insan yang diberikan peluang untuk meminjam apa jua nikmat yang dikurnai Illahi, manfaatkanlah ianya untuk kemaslahatan kehidupan manusia yang lain
Dugaan mahupun musibah daripada Allah amat sukar untuk kita ramal, ada kalanya datang tiba-tiba, adakalanya lambat. Janji Allah tidak pernah mungkir walau pun cepat sesat mahu pun lewat sesaat semuanya pasti. Oleh itu sebagai khalifah di bumi fana yang diamanahkan sebagai pelestari alam bersyukurlah dengan nikmat yang dilimpahi, sekiranya dugaan yang datang menduga berbanyaklah sabar. Ada hikmah di sebaliknya.
Sekian buat titipan yang lama ditinggalkan
Salam keamanan, Insani

Selasa, 7 Julai 2009

PERITNYA HATI INI

Assalamualaikum dan salam keamanan buat semua saudara blogger
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Syukur alhamdulillah kerana masih diberi rung untuk menitip dalam tinta IT ini. Kali ini saya hendak menitip pedihnya hati ini. Kelmarin saya mendapat perkhabaran yang kurang enak di mana harapan saya untuk diiktiraf guru mengajar di tingkatan 6 masih belum kesampaian. Bukan rezeki lagi, namun apa yang mengecewakan sudah 2 kali permohonan dihantar tetapi keputusan masih tidak menyebelahi saya. Saya masih berpegang kepada rezeki adalah pemberian Allah swt.
Pabila berbicara dengan sahabat di mana kesilapan sebenarnya berlaku. Sudah adat manusia sebut sahaja ada peluang untuk orang lain, ada pula manusia yang merentap peluang itu. Saya masih boleh bersabar tetapi kesabaran itu ada kalanya memakan diri. Jika berlakau sebarang putar belit manusia saya harap mereka segera ingat, bahawa manusia tidak boleh menongkat langit. Harta dunia hanya pinjaman sementara. Kawan dari sekolah lain yang senasib dengan saya menyuarakan suara hati yang sama. Saya nasihati bersabarlah, jika ada rezeki kita tidak akan kemana-mana. Namun begitu hirisan luka yang telah saya alami beberapa bulan yang lepas masih terasa ngilunya. Saya sudah berniat dalam hati untuk terus berada di gedung pembelajaran yang ada sekarang sehingga bersara pada 23.03.2022. InsyaAllah jika ada keizinan Allah swt.
Apa-apa pun saya mahu terus bersabar, kerana yakin kesabaran itu ubat bagi semua penyakit hati. Pedihnya hati ini hanya Allah yang tahu. Biarlah saya tenang dengan keadaan ini dan sentiasa berdoa agar Allah permudahkan urusan perjalanan hidup ini. Insya Allah
Podihnyo hati menanggung sekso
Tak mati badan merasai
Sekian, wassalam dan salam keamanan
Insani

Isnin, 6 Julai 2009

KASIH ABADI

Assalamualaikum dan salam keamanan buat saudara semua
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Syukur ke hadrat Allah kerana masih diberikan ruang dan peluang untuk menghirup udara yang dikurna secara percuma. Kudrat yang masih kuat untuk bergerak, suara yang masih ada untuk untuk berzikir setiap detik yang berlalu.
Sudah seminggu kasih abadi saya pergi menyambut seruan Illahi, terasa tidak cukup detik waktu membalas jasa kedua-duanya. Ayah dan ibu permulaan hidup ini, memberi peluang melihat dunia ciptaan Allah yang tidak terhitung nikmatnya. Kasih tempat bermanja dan mengadu sudah kering kini, hanya pada Allah sahaja saya panjatkan segala kesedihan dan keresahan hati ini. Sebagai umat junjungan besar Nabi Muhammad saw berkeluh kesah adalah tidak baik.
Saya insan yang sukar untuk mengalirkan air mata, hanya tangisan di hati sahaja yang dapat digambar melalui perasaan. Masih ada humairah, anak-anak dan seorang ibu mertua. Kasih ibu sejati tidak sama dengan semuanya. Sebagai seorang anak yang telah dididik dengan perjalanan hidup yang penuh kesusahan mengajar saya menjadi lebih sabar, tabah dan senatiasa bersyukur dengan nikmat Allah kuniakan selama ini. Subhanallah, Walhamdulillah, Walailhaillah huAllah huakbar. Inilah reailti ad-din dalam Islam.
Kepada semua saudara sayangilah dan kasihilah ibu dan ayah yang masih wujud di alam fana ini. Jagailah mereka selagi hayatnya ada, ubatilah mereka jika sakit, janganlah sesekali melukai hati mereka kerana luka itu tidak dapat diubati jika kita tidak mengetahuinya.
Sekian dahulu titipan saya kali ini, alfatihah untuk semua insan yang telah pergi dahulu menemui pencipta-NYA.
Wassalam dan salam keamanan
Insani

Sabtu, 4 Julai 2009

AL-FATIHAH DAN TALKIN BUAT BONDA TERCINTA


Assalamualaikum dan salam keamanan buat semua saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi








Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke atas Allah swt dan selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw. Terima kasih Ya Rabbi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk menitip dalam tinta ini. Titipan kali ini menguji kesabaran saya sebagai hamba kepada pencipta-NYA.


Saya kongsikan pengalaman perginya bonda tersayang buat selamanya menemui Allah swt pencipta yang abadi. Saya redha dengan pemergian bonda ini kerana sudah genap satu tahun 3 hari melawan penyakit kanser yang dihidapinya. Sebagai anak sulung saya sentiasa tabah menerima ujian yang Allah berikan ini. Kini sudah tiada insan-insan yang saya sayangi. Almarhum ayahanda pergi ketika saya mula bekerja pada tanggal 03.09.1991 tepat jam 2.30 petang pada usia 49 tahun. Ayahanda juga sama seperti bonda terpaksa menerima ujian Allah selama 8 tahun terlantar sakit. Peristiwa yang sam datang kembali selepas 17 tahun, kali ini almarhum bonda tercinta pula diuji hinggalah tanggal 29.06.2009 pergi menyahut panggilan Illahi.


Alhamdulillah saya diberikan kesempatan oleh Allah untuk mengadap bonda pada malam 28.08.2009 ketika sedang menghadapi saat akhir sebelum menghembuskan nafas terakhir. Saya empat beradik , humairah, adik ipar serta anak-anak bergilir-gilir mengajar bonda mengucap saat sebelum izrail memisahkan jasad dari badan. Bergenang air di kelopak mata setiap adik saya, memang sedih dan pedih rasanya kehilangan insan tersayang. Namun begitu saya sudah lama redha dengan keadaan ini. Doktor memaklumkan kepada saya bahawa bonda tidak mampu diselamatkan lagi dan saya menyerahkan kepada ketentuan Illahi. Tepat jam 12.10 pagi jantung ibu berhenti berdenyut dan sebelum menghembuskan nafas terakhir bonda sempat menyebut nama saya. Cukup memilukan perasaan ini ketika itu, tetapi saya kuatkan semangat. Tepat jam 12.50 pagi nadi bonda terhenti sepenuhnya. Putus sudah kasih sayang seorang bonda yang selama ini terpaksa melawan penyakit yang Allah berikan kepadanya. Bonda redha dan saya bangga mempunyai seorang bonda yang cukup kuat semangat walaupun terpaksa melalui semua ini.


Tepat jam 2.45 pagi jenazah bonda selamat sampai ke tempat kelahirannya Kg Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan. Suasana begitu pilu kerana rakan-rakan sekampung arwah bonda sudah sedia menunggu. Diletakkan di ruang tamu, kemudian dibacakan surah yassin dan al-quran oleh cucu-cucu bonda. Saya turut membacakan surah dalam al-quran untuk roh bonda. Perasaan ini hanya Allah sahaja yang tahu, menangis hati ini saya sahaja yang tahu. Bonda sempat berpesan kepada adik saya agar jenazahnya dikebumikan sebelum waktu zuhur. Alhamdulillah semua itu dapat dilaksanakan dengan baik.


Keesokan harinya 29.06.2009 semua persediaan untuk menyempurnakan jenazah bonda berjalan dengan baik sehinggalah dikebumikan. Jenazah bonda telah disembahyangkan dan diimamkan oleh Ustaz yang selama ini bonda belajar agama. Alhamdulillah terima kasih ustaz. Bonda saya seorang yang rajin ke surau setiap waktu subuh dan mengaji pada waktu malam. Wajah bonda sebelum dikafankan begitu bersih dan seakan tersenyum dalam tidur. Saya diberi peluang terakhir untuk mengucup dahi bonda buat kali terakhir dan diikuti adik, humairah serta cucu-cucunya. Terima kasih kepada anak lelaki sulung saya kerana mengiringi janazah nendanya pulang dari hospital sehingga ke kubur.


Tepat jam 12.15 tengah hari jenazah bonda selamat disemadikan bersebelahan dengan makam ibunya iaitu nenda saya serta berdekatan pula dengan makam ayahanda saya. Mungkin inilah aturan Allah ke atas jenazah bonda saya berada dekat dengan arwah suaminya. Alhamdulillah. Jam 12.45 semuanya selesai dengan selamat dan bonda saya akan tinggal di sana sehinggalah hari kiamat. Talkin dibacakan untuk mengungatkan insan yang hidup, Al-Fatihah dibacakan untuk disedekahkan kepada arwah bonda. Saya sentiasa mendoakan roh bonda sentiasa dipermudahkan urusan alam barzakh dan mendapat rahmat dari Allah swt. Setiap yang hidup pastikan akan merasai mati.


Soal alam barzakh adalah benar

Soal mungkar dan nakir adalah benar


Al-Fatihah buat bonda tercinta, Along bangga dan selalu bersyukur memilki seorang bonda yang sanggup berkorban sehingga akhir hayat. Terima kasih bonda, moga-moga Allah pertemukan kita di alam yang kekal abadi. InsyaAllah


Salam keamanan, insani