Sabtu, 4 Julai 2009

AL-FATIHAH DAN TALKIN BUAT BONDA TERCINTA


Assalamualaikum dan salam keamanan buat semua saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi








Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke atas Allah swt dan selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw. Terima kasih Ya Rabbi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk menitip dalam tinta ini. Titipan kali ini menguji kesabaran saya sebagai hamba kepada pencipta-NYA.


Saya kongsikan pengalaman perginya bonda tersayang buat selamanya menemui Allah swt pencipta yang abadi. Saya redha dengan pemergian bonda ini kerana sudah genap satu tahun 3 hari melawan penyakit kanser yang dihidapinya. Sebagai anak sulung saya sentiasa tabah menerima ujian yang Allah berikan ini. Kini sudah tiada insan-insan yang saya sayangi. Almarhum ayahanda pergi ketika saya mula bekerja pada tanggal 03.09.1991 tepat jam 2.30 petang pada usia 49 tahun. Ayahanda juga sama seperti bonda terpaksa menerima ujian Allah selama 8 tahun terlantar sakit. Peristiwa yang sam datang kembali selepas 17 tahun, kali ini almarhum bonda tercinta pula diuji hinggalah tanggal 29.06.2009 pergi menyahut panggilan Illahi.


Alhamdulillah saya diberikan kesempatan oleh Allah untuk mengadap bonda pada malam 28.08.2009 ketika sedang menghadapi saat akhir sebelum menghembuskan nafas terakhir. Saya empat beradik , humairah, adik ipar serta anak-anak bergilir-gilir mengajar bonda mengucap saat sebelum izrail memisahkan jasad dari badan. Bergenang air di kelopak mata setiap adik saya, memang sedih dan pedih rasanya kehilangan insan tersayang. Namun begitu saya sudah lama redha dengan keadaan ini. Doktor memaklumkan kepada saya bahawa bonda tidak mampu diselamatkan lagi dan saya menyerahkan kepada ketentuan Illahi. Tepat jam 12.10 pagi jantung ibu berhenti berdenyut dan sebelum menghembuskan nafas terakhir bonda sempat menyebut nama saya. Cukup memilukan perasaan ini ketika itu, tetapi saya kuatkan semangat. Tepat jam 12.50 pagi nadi bonda terhenti sepenuhnya. Putus sudah kasih sayang seorang bonda yang selama ini terpaksa melawan penyakit yang Allah berikan kepadanya. Bonda redha dan saya bangga mempunyai seorang bonda yang cukup kuat semangat walaupun terpaksa melalui semua ini.


Tepat jam 2.45 pagi jenazah bonda selamat sampai ke tempat kelahirannya Kg Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan. Suasana begitu pilu kerana rakan-rakan sekampung arwah bonda sudah sedia menunggu. Diletakkan di ruang tamu, kemudian dibacakan surah yassin dan al-quran oleh cucu-cucu bonda. Saya turut membacakan surah dalam al-quran untuk roh bonda. Perasaan ini hanya Allah sahaja yang tahu, menangis hati ini saya sahaja yang tahu. Bonda sempat berpesan kepada adik saya agar jenazahnya dikebumikan sebelum waktu zuhur. Alhamdulillah semua itu dapat dilaksanakan dengan baik.


Keesokan harinya 29.06.2009 semua persediaan untuk menyempurnakan jenazah bonda berjalan dengan baik sehinggalah dikebumikan. Jenazah bonda telah disembahyangkan dan diimamkan oleh Ustaz yang selama ini bonda belajar agama. Alhamdulillah terima kasih ustaz. Bonda saya seorang yang rajin ke surau setiap waktu subuh dan mengaji pada waktu malam. Wajah bonda sebelum dikafankan begitu bersih dan seakan tersenyum dalam tidur. Saya diberi peluang terakhir untuk mengucup dahi bonda buat kali terakhir dan diikuti adik, humairah serta cucu-cucunya. Terima kasih kepada anak lelaki sulung saya kerana mengiringi janazah nendanya pulang dari hospital sehingga ke kubur.


Tepat jam 12.15 tengah hari jenazah bonda selamat disemadikan bersebelahan dengan makam ibunya iaitu nenda saya serta berdekatan pula dengan makam ayahanda saya. Mungkin inilah aturan Allah ke atas jenazah bonda saya berada dekat dengan arwah suaminya. Alhamdulillah. Jam 12.45 semuanya selesai dengan selamat dan bonda saya akan tinggal di sana sehinggalah hari kiamat. Talkin dibacakan untuk mengungatkan insan yang hidup, Al-Fatihah dibacakan untuk disedekahkan kepada arwah bonda. Saya sentiasa mendoakan roh bonda sentiasa dipermudahkan urusan alam barzakh dan mendapat rahmat dari Allah swt. Setiap yang hidup pastikan akan merasai mati.


Soal alam barzakh adalah benar

Soal mungkar dan nakir adalah benar


Al-Fatihah buat bonda tercinta, Along bangga dan selalu bersyukur memilki seorang bonda yang sanggup berkorban sehingga akhir hayat. Terima kasih bonda, moga-moga Allah pertemukan kita di alam yang kekal abadi. InsyaAllah


Salam keamanan, insani


1 ulasan: