Isnin, 27 April 2009

SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU


Assalamualaikum dan salam keamanan buat semua saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Alhamdulillah rasa kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk bernafas dengan sempurna hari ini. Sudah dua hari tidak dapat mencoret dalam tinta IT ini. Bukan apa cuma terlalu sibuk dengan urusandan tanggungjawab duniawi. Alhamdulillah semuanya dapat dibereskan.


Coretan kali ini sekadar berkongsi nostalgia dan realiti bersama insan yang sentiasa di hati ini yang masih ada, IBU. Saya masih ada ibu yang tersayang, namun seorang ayah telah lama menyambut panggilan Illahi. Pada ketika itu saya baru mula bertatih sebagai pendidik, awal tahun 1990-an. Hanya selepas 2 bulan menabur bakti kepada anak bangsa, ayah pergi buat selama-lamanya. Saya redha dengan ketentuan Illahi, malah keyakinan saya semakin kuat untuk berjaya dalam hidup. Terngiang-ngiang nasihatnya di cuping ini, "ayah tidak dapat memberikan kemewahan hidup di dunia ini, sekadar termampu untuk makan dan pakai sahaja. Hanya pelajaran sahaja yang dapat membeli kemewahan dunia yang sementara".

Ayah turut berkata "orang lain boleh berjaya, kenapa kita tidak. Allah kurnai akal fikiran yang sama kepada kita". Selepas almarhum ayah pergi emaklah yang menjadi tempat mengadu sedih, duka perjalanan hidup ini. Saya membesarkan adik-adik dengan rasa tanggungjawab. Emak banyak memberi semangat dan perangsang. Seingat saya ibu pernah berkata "Long semua duit yang along beri emak simpan dan tidak pernah gunakan". Alhamdulillah berkat kesabaran itu, emak telah dipilih dan dijemput Allah s.w.t ke tanah suci Mekah. Kata emak duit yang along bagi selama 5 tahun disimpan dengan niat untuk menunaikan fardhu haji. Hajat emak dimakbulkan Allah. Saya begitu terharu dengan kesungghan emak, dalam keadaan tidak pandai membaca jawi masih mampu sampai ke tanah suci. Subhanallah.


Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, awan mendung mula berarak tiba. Takdir Allah telah menentukan perjalanan hidup hamba-NYA. Bulan Jun 2008 emak disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru. Adik-adik semuanya terkejut dan mula menangis. Emak pula tidak dapat menerima kenyataan ini. Dalam setiap ucapannya mengatakan dia akan mati. Saya tidak mahu tunduk dengan keadaan ini. Saya kuatkan semangat melawan emosi yang sudah mula mencengkam dalam jiwa adik-adik dan emak.


Saya yakin setiap musibah ada hikmah yang Allah tentukan. Saya berkata pada adik-adik kita lawan. Saya bangkit dan bangun dengan kudrat dari Allah untuk melawan penyakit ini. Saya cakap pada emak ajal maut adalah urusan Allah. Sebagai insan-Nya kita tidak boleh mengalah dan berserah. Allah tidak suka dengan orang yang cepat putus asa. Saya yakinkan emak penyakit ini boleh dilawan. Emak setuju untuk menjalani semua rawatan yang perlu. Memang betul dugaan Allah itu sentiasa datang menduga, sehingga adik-adik saya hampir putus asa. Sebagai abang sulung saya tenang terus memberi semangat kepada adik dengan pelbagai motivasi agar mereka tidak mengalah. Akhirnya emak selesai menjalani rawatan. Kini emak masih terus menerima rawatan walupun fizikal semakin uzur. Saya terus kuatkan semangat untuk menghadapi keadaan ini.


Inilah satu-satu ibu yang saya masih ada dan saya sentiasa berdoa agar emak dapat bertahan dengan dugaan yang Allah berikan ini. Ini bukti Allah sayang kepada hamba-Nya dengan menduga pelbagai jenis penyakit. Sebagai insan dugaan ini bertujuan untuk meningkatkan rasa ketakwaan kita terhadap-NYA. Emak along sentiasa berdoa untuk emak


Saya tinggalkan titipan ini dengan bait-bait ini


Ayah dan ibu
Ayah dan ibu

Itulah permulaan kami
Dapat melihat
Bulan dan matahari


Sekian buat masa ini, wassalam salam keamanan

Insani




Khamis, 23 April 2009

JANJI PERTEMUAN PASTI PADA PERPISAHAN

Assalamualaikum dan salam keamanan
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana masih mampu menitip di tinta IT ini. Mampu menghirup udara anugerah yang tidak ternilai, mampu menjamah rezeki yang melimpah ruah tanpa membazir, minum dengan tenang pada cangkir yang satu dengan tiga kali hirupan. Mengikut sunnah junjungan besar Nabi Muhammd s.a.w. Syukur, syukur ya Allah.
Detik pertemuan saya dengan dunia ini bermula 42 tahun yang lalu. Ini bermakna Allah telah memilih diri ini sebagai insan yang bersedia menjadi musafir di alam fana. Pertemuan dengan humaira telah berlalu 16 tahun. Inilah janji Allah pada insannya yang tidak pernah dimungkiri. Pasti terpahat dalam ingatan dengan kata-kata ini. bahawa jodoh pertemuan, rezeki dan ajal maut adalah ketentuan Illahi. Ini semua adalah perkara benar.
Pertemuan dengan humaira telah Allah janjikan kurniaan dengan dua putera dan dua puteri. Inilah kebenarabn janji Allah pada saya sebagai hambanya. Pertemuan dengan humaira telah sama-sama nasihat menasihati dalam melaksanakan amanah besar yang Allah berikan kepada saya. Pertemuan awal inilah yang telah membina sebuah istana kehidupan yang digelar berkeluarga. Keluarga yang dianugerahi Illahi kepada saya merupakan nikmat pertemuan dengan anak-anak dalam mencorak jiwa-jiwa mereka menjadi insan yang soleh serta solehah. Memupuk perilaku dengan sifat-sifat mazmudah lalu menghindari sifat-sifat mazmumah. Insyaallah berusaha selagi masih bernafas.
Pertemuan dengan rakan-rakan bermula dari belajar beratti sehinggalah kini. Telah banyak pertmeuan yang Allah takdirkan pada hidup ini. Apa erti semuanya ini, pada fikiran saya semua ini mampu mendidik manusia menjadi satu ummah yang kuat dari segi ukhuwah. Akhirnya memebentuk pertemuan saudara sesama insan. Terlalu ramai yang telah memulakan pertemuan dalam hidup ini sehingga tidak terhitung. Namun janji Allah tetap benar, pertemuan pasti mencari perpisahan. Perpisahan satu detik yang pasti menyedihkan. Perpisahan dengan almarhum ayahanda dan nenda telah berlaku. Ini pasti kerana setiap pertemuan kehidupan pasti bertemu dengan kematian.
Dunia ini merupakan tempat pertemuan sementara dan perpisahan yang berkekalan. Humaira dan anak-anak Allah kurniakan hanya pertemuan di alam fana sahaja. Namun pabila kembali ke alam kekal milik-Nya hanya doa di pohon agar pertemuan yang abadi menjadi realiti insyaallah. Perpisahan dengan rakan-rakan di mana sahaja kita berpijak merupakan janji kepada pertemuan itu.
Sekian dahulu buat masa ini, maaf jika coretan tinta banyak menyentuh soal hidup mati tetapi itulah hakikat yang pasti kita tempuhi
Saya tinggalkan dengan bait-bait ini
Bersujud kepada Allah
Bersyukur sepanjang waktu
Setiap nafas ku
Seluruh hidupmu
Semoga diberkati Allah
Bersabar kepada Allah
Mejaga keikhlasan-Nya
Semoga dirimu
Semoga hidupmu
Dirahmati Allah
Alahamdulillah. wa syukurillah
(detikkan dalam hati )
Wassalam, salam kemananan
Insani

Selasa, 21 April 2009

ISTANA MENANTI


Assalamualaikum dan salam keamanan saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Bersyukur teramat sangat ke hadrat Illahi kerana masih diberi kudrat untuk menitip dalam tinta IT. Pertamanya ucapan terima kasih kepada wak telah mengalihkan detik masa ke tempat sepatutnya. Berbicara soal istana kita sering mengaitkannya dengan raja dan para pembesar, Selaku golongan marhaien kita sebenarnya memiliki istana. Sering kali diungkapkan rumah yang kita diami. Orang sering menyebut mahligai impian. Bagi saya teralau tinggi darjat kedudukan mahligai itu, biarlah kita berada dalam kelompok sederhana antara pondok dan mahligai iaitu istana.







Saya dan humaira telah membina istana menanti sejak awal tahun 1999, dengan simpanan sendiri. Hampir RM 50,000 tunai dibelanjakan demi istana menanti. Kenapa saya gelarnya istana menanti, banyak sebab musababnya. Istana yang saya bina lama dinanti untuk siap, kemudian menanti masa tuannya boleh masuk, menanti ibu ayah pulang dari kerja, anak-anak balik dari sekolah. Saban hari istana ini terus menanti dengan setia tanpa jemu.


Alhamdulillah istana yang mampu saya bina tidak terlalu besar dan kecil, apa yang penting bersederhana kerana ini dituntut dalam Islam. Istana ini banyak berjasa dalam masa sepuluh tahun ini, memberi ruang dan peluang untuk berteduh selagi ada nafas penghuninya. Dipagari dengan kehijauan warna alam ciptaan Illahi, diselimuti dengan baju krim, dipayungi dengan topi biru. Saya dan keluarga tetap bangga walau pun istana ini tidak seindah mana kerana pasti satu masa ia tidak akan menanti penghuninya lagi............




Istana menanti ini sebenarnya adalah milik orang bukan saya yang punya. Terbaca saya satu kisah di negara arab antara seorang sultan dengan rakyat biasa. Diceritakan seorang musafir tumpang tidur di tepi pagar istana, lalu dimarahi oleh pengawal. Maka si musafir ini bertanya dimanakah tempat saya sedang tidur?. Jawab pengawal, istana raja. Bertanya lagi milik siapah istana ini?. Jawab pengawal, Raja. Oh begitu, Boleh izinkan hamba bertemu dengan raja. Maka Pengawal mengizinkannya. Ketika berhadapan dengan raja, si musafir bertanya milik siapakah istana ini? Raja dengan bangga menjawab milik betalah. Oh begitu!. Lalu si musafir bertanya lagi jika tuanku mangkat milik siapakah istana ini?. Raja menjawab milik anakanda betalah. Si musafir mencelah oh! jadi istana ini bukan milik tuanku ya. Raja terpinga-pinga.





Teladan yang dapat kita diambil dari secebis kisah di atas ialah semua yang kita miliki ini hanyalah pinjaman untuk sekadar waktu. Istana yang dibina indah rupa-rupanya untuk orang lain. Dari kisah inilah saya mengambil ikthibar istana menanti kita bina hanya milikan sementara walaupun dalam syarat perjanjian hak milik bebas, pajakan selagi dunia ini wujud. Apa-apa pun bersederhanalah. Kerana inilah yang diajari dalam Islam sebagai ad-din.






Saya tinggalkan istana menanti dengan bait-bait ini



Kain putih, selimut putih

Mari kita bawa sembahyang

Allah kasih, Muhammad kasih

Rasululullah bertambah sayang






Ingatlah kehidupan dunia hanya cebisan air yang terlekat di jari apabila dicelupkan ke laut. Keluasan laut itulah hidup kita yang sebenar . Tiada tebing dan tiada sempadannya, sama-samalah kita renungkan,






Wassalam dan salam keamanan

Insani

Isnin, 20 April 2009

SELAMAT TINGGAL KESENGSARAAN


Assalamualaikum dan salam keamanan saudaraku
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang dan ruang untuk bernafas hari ini. Maaf hari ini kurang sihat, tidak hadir bertugas untuk anak-anak didik yang cemerlang. Al maklumlah usia semakin meningkat manakala kudrat semakin berat. Mohon pada Allah tidak bertambah berat dan mudarat.


Hari-hari perjalanan hidup saya semakin murah dengan nikmat dari Illahi. Rasa syukur teramat sangat kerana sejak dua desawarsa inilah baru kenal dengan makanan yang pelik-pelik umpamanya burger, hotdog, pizza, KFC, Mc Donald, White Castle, Merry Brown, A & W dan bermacam-macam lagi. Alhamdulillah lahirnya anak-anak hari ini sudah kenal dengan populariti juadah ini. Menyingkap 25 tahun dahulu hanya kenal kepada ubi kayu rebus, lempeng pisang, variety cokodok dan macam-macam ada. Nostalgia ini jika dicanang kepada anak-anak terasa hairan dan pelik pula mereka.


Selamat tinggal kesengsaraan ini menyingkap kehidupan 20 tahun dahulu. Diceritakan kepada anak-anak umpama seorang panglipulara mengalunkan celoteh kepada rakyat jelata. Ayah dulu hidup susah, kerja banting tulang bergelumang dengan lumpur mengerjakan bendang. Tercucuk onak dan duri merintih dari pohon-pohon getah yang setia kepada "gurunya". Ke hutan bersama dituruni untuk mengutip rezeki yang Allah telah tetapkan. Usaha dengan kegigihan yang menjadi kekuatan untuk meneruskan hidup ini.


Ayah belanja sekolah 20 sen sahaja, anak-anak membulatkan biji mata ... katanya betul ke yah. Ya jawab ayah ringkas. Sebab dahulu nak cari duit susah. Almarhum atuk Salleh dahulu selepas pencen tentera kerjanya menoreh getah. Dapatlah RM 5-10 sehari. Alhamdulillah rezeki yang berkat membawa rahmat. Saya ceritakan lagi "kesengsaraan" hidup bertambah pabila atuk sakit lumpuh hampir 8 tahun. Terlalu sukar rasanya perjalanan hidup masa itu. Ada saudara sepi sahaja, pernah satu ketika ayah terpaksa berhari raya selama 5 tahun dengan baju yang sama. Tak berduit nak membelinya. Orang kampung pula, al maklumlah sama-sama susah. Masa di tingkatan 6 atas dapatlah baju percuma pemberian seorang "pilot". Berkat baju itulah ayah berjaya dalam STPM dengan keputusan yang agak baik.


Ayah pernah makan nasi berlaukkan garam, sapa anak yang kedua sedap ke yah, jawab ringkas dah tak ada apa sedaplah. Di sekolah rakan-rakan yang baik berkongsi bekal dengan saya, seronok rasanya. Saya cakap pada adik-adik mak ngah, pak lang, mak su jangan mengalah. kehidupan perlu diteruskan. Nasib agak baik kerana masih ada almarhum tok nyang ( buyut ) kata orang jawa. Almarhum inilah yang sedikit sebanyak membantu. Janji Allah itu tidak pernah mungkir pada hamba-hambanya. Berkat doa dari kesengsaraan hidup itu saya berjaya menamatkan pengajian di USM.


Kesengsaraan itu tidak berhenti di situ, almarhum ayahanda sudah tidak mampu bergerak kerana strok. Ibu dan mak su yang begitu gigih menjaganya. Mak su berhenti sekolah selepas tingkatan 3. Kesian mak su ye yah..... mak su dahulu pandai ke yah. sapa anak saya yang sulung. Ya mak su pandai tetapi hidup susah kerana almarhum tok tak ada orang nak jaga, kenalah berhenti sekolah. Pesan saya pada anak-anak janganlah malas belajar kerana kelak kita juga akan rugi sepanjang hayat. Pesan almarhum tok Salleh hanya pelajaran sahaja yang dapat ditinggalkan untuk anak-anaknya, kerana harta dunia akan habis. Ilmu pengetahuan akan kekal sampai ke akhirat. Inilah yang menjadi pedoman hidup saya hingga ke saat ini.


Syukur alhamdulillah berkat ketabahan dan ketekunan hidup dengan keredhaan dari Illahi saya masih ada di sini. Rezeki yang dilimpahinya amat-amat disyukuri. Harta setinggi gunung kalau dikaut hari-hari akan habis, ilmu dikaut hari-hari akan penuh dalam kotak minda tersimpan utuh dalam dada. Subur berkembang jika disebarkan kepada insan-insan yang lain. Jadi bekal penyuluh tat kala kita berada di alam kekal abadi kelak.


Selamat tinggal kesengsaraan di ungkapkan dengan bait-bait berikut. Kalau pernah mendengarnya bisik-bisiklah dalam hati ye.


Langkah demi langkah

Kita lalui bersama

.................................

................................


Selamat tinggal kesengsaraan

Selamat tinggal penderitaan

Terima kasih atas pengalaman

Yang kau berikan


Air mata menjadi permata

.............................................



Wassalam dan salam keamanan

Insani



Ahad, 19 April 2009

MUTIARA PINJAMAN


Assalamualaikum dan salam keamanan saudaraku
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Syukur alhamdulillah masih ada peluang dan ruang untuk menitip dalam tinta IT ini. Mutiara suatu keajaiban yang dianugerahi oleh pencipta "khalik untuk semua pemilik sementara yang bergelar "makhluk". Anugerah akal yang dikurnai kepada makhluk yang bergelar manusia terpilih menjadi taruhan untuk melestarikan alam fana ini. Namun begitu sesuai dengan sifat manusia itu sering kali alpa maka wujud dengan sapaan insan. Oleh itu saranan saya agar semua saudara sesama insan di dunia itu saling sedar lagi menyedari antara satu sama kita. Maka Allah memilih manusia menjadi nakhoda di muka bumi kerana memiliki mutiara yang cukup indah, berkelipan iaitu kebijaksanaan akal tanpa padam kecuali jasad terpisah dari badan. Buat santapan minda sahaja


Masa senggang 48 jam ini sebahagian besar menjadi penjaga kepada mutiara hatiku yang Allah pinjamkan buat seketika. Anak-anak adalah mutiara hidup saya yang sementara. Disinilah saya sebagai abi belajar menggunakan kebijaksaan menilai ketulenan mutira ini. Kadang kala kerlipan terpancar jauh sinar dan ketika lain pudar. Inilah realiti hidup yang saya lalui selama 16 tahun bergelar abi. Empat mujahidin ini Allah kurnia untuk saya, menjadikan satu amanah yang amat besar serta berat jika saya gagal mengilapnya menjadi mutiara kubra. Alhamdulillah sejauh ini Allah masih menunjukkan sifat ar-rahman dan ar-rahim kiranya kita dekat dengan-Nya.


Alhamdulillah dikurnai dengan dua mutiara penyegar dan dua mutiara penawar untuk saya dan umairah. Bertuah sekali Allah memberi peluang untuk menjaga, mengasuh, membesarkan, mengubati, mengajari, mendidik dengan harapan satu ketika mutiara ini akan mendoakan kesejahteraan abi dan umairah tatkala sudah tiada. Mutiara-mutiara ini ketika pudarnya, hati saya akan rasa letih, amarah dan kecewa. Lekas-lekaslah saya gilap dengan mencari as-sabirin (sabar). Tentu sekali kita bergelar insan sering kali dihambat sifat-sifat amarah, penawarnya tatap wajah-wajah mutiara ini, perhatikan ucapan-ucapannya, selinapkan perasaannya. Barulah saya tahu anak-anak ini belum cukup kental akalnya.


Hari ini umairah masih sibuk dengan tugasannya, abi bertugas sebagai pengasuh. Tiada apa yang hendak dihairankan. Alah bisa tegal biasa, mutiara-mutiara hatiku hari ini baik-baik belaka. Mudah mendengar kata, mudah disuruh dan ada juga sedikit kecelaruan. Biasalah anak-anak katakan. Hari ini abi tak masak , beli sahaja makanan mudah sedikit. Almaklum sibuk mengemas istana. masih belum usai lagi. Petang nanti ajak mutiara penyegar mengemas depan istana, insyaAllah semua berjalan dengan baik. Alhamdulillah


Saya berhenti di sini dahulu, nanti ada peluang dan ruang boleh berkongsi titipan ini. Apa-apapun mutiara-mutiara yang saudaraku miliki, jagailah ia sebaik mungkin kerana semuanya adalah pinjaman sementara. Cinta pada mutiara ini hanya seketika , ada yang kekal abadi Allah yang Esa. Saya akhiri titipan dengan bait-bait ini

Keunggulan cinta
Dari sinar mata
Yang bergelora
Hati di taman berbunga

Satu impian
Satu harapan
Mungkin ada di sebaliknya
Satu rahsia

Engkau di mataku
Adalah cahaya
Perjalananku
Terang menyuluh segala
Yang terembunyi

Lamaku cari
Sudah pasti
Ada jawapannya
Kemungkinan itu


Wassalam dan salam keamanan
Insani



Jumaat, 17 April 2009

MENDIDIK HATI NURANI USAH GUNDAH GULANA



Assalamualaikum dan salam keamanan buat saudaraku
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Syukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang ketika ini untuk menitip coretan. Maaf dipohon kerana dua hari tidak berpeluang berkongsi sesuatu. Kadangkala terasa hati ini sayu, sedih pabila beberapa peristiwa yang menyapa ke lubuk nurani ini. Bagi saya senyuman adalah ubat paling mujarab. Mendidik hati agar sentiasa tenang, tidak gundah gulana kerana dikhuatiri ditemani syaitan. Ahamdulillah selagi zikrullah ada dalam dada, kewarasan akal masih di pundak insyaAllah perjalanan hidup ini menjadi lebih baik dan tenang serta harmoni

Kini hampir 18 tahun keringat ini dicurahkan untuk anak-anak murid yang hauskan ilmu. Mungkin ada yang telalu pintar, lembab, lembam dan tidak kurang juga yang nakal. Di sinilah cabaran untuk menduga keteguhan hati datang menyapa. Saya tidak suka untuk menjadi insan yang lekas bengkeng. Sering kali berkata pada rakan-rakan guru marah tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa yang paling utama bijaksana dalam mendidik hati ini. Itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada manusia "hati nurani". Diajari dengan pelbagai zikir, doa namun begitu sering kali kita alpa. InsyaAllah sama-samalah kita mencarinya.

Dua hari lepas bertanya lagi rakan guru, cikgu tidak terasa hati dengan apa yang telah dilalui. Jawab saya mudah, rezeki Allah yang tentukan, hari ini kita diuji begini sebenarnya ada hikmah tersembunyi. Saya tidak mahu mendendami sesiapa kerana sifat ini tidak baik untuk hati dan bakal merosakkan nurani. Saya berdoa agar apa yang saya lalui akan dapat menyedarkan insan-insan lain yang masih ego, lupa atau lupa itulah fitrah insan namanya.
Saya sering memujuk hati ini agar tabah, teguh dengan prinsip hidup dan tidak mudah mengalah.

Melihat kepada wajah ummi dan anak-anak terasa sejuk hati ini. Berkata lagi nurani, inilah harta yang Allah pinjam kepada saya di dunia ini. Namun begitu selagi jasad ini masih bernafas, saya akan terus mendidik hati ini menyayangi mereka. Kehidupan selepas ini tidak menjanjikan kita bertemu dengan meraka. Ops bukan apa mengingatkan hati agar tidak terlalu sayangkan dunia yang fana ini.

Kelmarin saya marah "abang cik " anak yang ketiga kerana kenakalannya, mulut marah berkata-kata. Bila melihat mereka beradu terasa sayu hati ini, menangis rasa hati namun begitu sebagai seorang ayah ketegasan perlu ada dengan harapan anak-anak akan lebih memahaminya.
Saya terasa menjaga hati insan-insan yang lain lebih bermakna walaupun hati sendiri sering menangis. Biarlah kita bijak mendidiknya.

Titipna tinta ingin berlabuh di sini, selalu mendidik hati dan berdoa moga-moga esok kita masih mampu bernafas lagi

Wassalam, Salam keamanan
Insani

Selasa, 14 April 2009

MASIHKU INGAT



Assalamualaiku dan salam keamanan semua saudaraku
Alhamdulillah masih benafas lagi

Syukur Alhamdulillah masih ada peluang untuk mencoret titipan tinta ini. Hari ini saya bercerita masihku ingat nostalgia mula-mula jadi murid dalam darjah 5. Al kisah cikguku yang mengajar Tatarakyat. Masih ku ingat cikgu ini bawa beg besar bila masuk ke kelas. Tidak mengajar asyik main gigi palsu. Ditanya soalan hanya diam membisu dan senyum sendiri. Kami kebingungan dan puas meneka jawapan. Akhirnya terjawab jua rupa-rupanya cikguku ini ada masalah mental, kesian cikgu ini. Anak-anakku 3F tersenyum, maklumlah dah tengah hari mengantuk semuanya. Maka terbitlah kisah cikguku ini.

Masih ku ingat lagi masa mula-mula mengajar di FELDA, diceritaan pada anak-anakku kegigihan seorang anak murid di sana. Saya cukup kagum dengan kegigihannya. Orangnya cantik, lawa, bersopan-santun dan cukup periang. Kejutan berlaku pertama kali masuk mengajar ke kelasnya. Pabila permintaan menjemput sesiapa suka rela menjawab soalan, maka berdirilah anak gadis ini dengan tenang menjawab soalan yang diajukan dengan yakin. Masih ku ingat, hampir ketawa hati kecil ini dibuatnya. Berbisik kepada kawannya Aspalela, Aisyah memang begitu ke.... Ya cikgu sejak dari sekolah rendah lagi. Seluruh kelas macam sudah biasa, tiada bunyi orang ketawa. Tetapi kedengarannya macam lucu. Aisyah anak murid kebanggaan saya itu rupa-rupanya sengau orangnya Anak-anakku di sini ketawa kuat, ada yang tertahan-tahan.

Masih ku ingat kebanggaan hati ini bertambah lagi tatkala keputusan SPM tahun 1993 diumumkan Aisyah termasuk dalam senarai pelajar cemerlang. Menangis anak gadis pabila subjek yang diajari saya mendapat gred A. Tersenyum puas pada raut wajahnya, ucapannya "terima kasih cikgu". "Saya tidak malu saya macam ini, saya dah biasa cikgu. Kawan-kawan baik dan faham dengan saya". Itulah kata-kata yang masih ku ingat. Iktibar yang dilontarkan kepada anak-anakku di sini kekurangan bukan penghalang kejayaan

Masih ku ingat, anak-anakku tahun 1991 hingga 1993, Aisyah, Ramlah, Aspalela,Roslan dan Rosli, Rizal, Nazrul, Khidir memori ini masih segar dalam ingatan. Anak-anak angkatku Zainun, Saiful dan Kadariah pasti sudah jadi insan berguna kini. Akhirnya ingatan itu disemat dalam hati ini menjadi teladan untuk anak-anakku di sini. Saya tinggalkan coretan ini buat seketika dengan bait-bait lagu ini mengakhiri coretan tinta kali ini.

Masihkah kau ingat
Pada waktu itu
Sekuntum bunga mekar
Kuselit ke rambutmu

Lalu kugengam
Ia menjadi layu
dan menjadi debu
Masihkah kau ingat

Masihkah kau ingat kita berlari-lari
Di kaki langit mengejar pelangi
Lalu hujan turun
Kita basah bersama

Masihkah kau ingat
Masihkah kau ingat

Wasalam, salam keamanan
Insani

Isnin, 13 April 2009

SENYUM PENAWAR DUKA LARA

Assalamualaikum dan salam keamanan saudaraku
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Syukur teramat sangat kerana dapat mencoret sedikit lagi dalam tinta ini.
Senyumlah semua, kerana itu ubat penawar duka lara. Sudah tersenyumkah hari ini?. Jika belum senyumlah. Senyuman kepada seseorang adalah sedekah dan pemanis kepada raut wajah serta menampilkan keceriaan hidup hari ini. Kata orang tua-tua sentiasa senyum akan mengurangkan kedut di muka. Secara mudahnya awet muda, tetapi sesuatu yang diawet akan nampak tua kecuali SENYUMAN

Perjalanan saya hari ini nampak tenang dan tiada yang menggusarkan. Terasa aman, damai walaupun kadangkala tugasannya sering menyergah ke dalam fikiran ini. Alhamdulillah bisikan keamanan dan senyuman tadi memudarkan kekusutan itu. Pabila menjadi masyarakat "marhain" dan "songkulot" ini lebih tenang. Mudah disuruh dan diarah dan lebih sukar menyuruh dan mengarah. Namun begitu tanggungjawab yang diamanahkan hari ini sudah dapat dilaksankan. Kepuasan terasa bila melihat wajah-wajah anak didik tersenyum segar menghirup ilmu dari cangkir yang kita tuangkan selalu. Biarlah ilmu yang baik itu kekal, bersemi dalam sanubari menjadi menjadi epilog.

Terhenti seketika buat kali ini, saya titipkan bait-bait lagu ini

Engkau bagai air yang jernih
Di dalam bekas yang berdebu
Zahirnya kotoran itu terlihat
Kesucian terlindung jua

Cinta bukan hanya di mata
Cinta hadir di dalam jiwa
Biarlah salah di mata mereka
Biar perbezaan terlihat
Antara kita

Kuharapkan kau kan terima
Walau dipandang hina
Namun hakikat cinta kita
Kita yang rasa

Suatu hari nanti
Pastikan bercahaya
Pintu akan terbuka
Kita langkah bersama

Di situ kita lihat
Bersinarlah hakikat
Debu jadi permata
Hina jadi mulia

Bukan khayalan aku berikan
tapi keyakinan yang nyata.....


Maaf dipinta bait-bait tidak dapat diusaikan, sudi kiranya berbisik di dalam hati kesudahan perjalanan hari ini. Yang pasti SENYUMLAH pada semua isteri @ suami tercinta, anak-anak tersayang moga mahligai yang ada mendapat keberkatan-NYA.

Sekian, salam keamanan
Insani

Ahad, 12 April 2009

ALHAMDULILLAH MASIH BERNAFAS LAGI

Assalamualaikum dan salam keamanan kepada seluruh saudaraku.

Pagi ini saya bersyukur pada Illahi kerana masih diberi peluang memetik suis perjalanan hidup. Amat bersyukur mampu menghirup udara yang dianugerahi secara percuma, melihat sinar mentari tanpa kehabisan tenaga, bergerak dengan atas izin kudratNYA. Rupa-rupanya talian hayat hidup semakin pendek setiap detik yang berlalu merupakan saat yang berkemungkinan ibarat bait-bait lagu yang sering diungkapkan

Malam siang, kulalui
Dengan debaran dihati
Pengalaman teman-teman
Membuatku rasa bimbang
Di dalam kehidupan
Segalanya berkemungkinan

Hari ini aku tahu
Kau tak setia pada janji
Tapi esok belum pasti
Tak tahu apakan terjadi

Kuingin pertahankan
Sebuah kejujuran
Ingin kuhidup
Bersamamu ke akhir hayatku

Namunku tak pasti
Segala yang terjadi
Kita hanya merancang
Tuhan yang menentukan

Jangan kau salahmengerti
Dalam kehidupan ini
Segalanya berkemungkinan
Terjadi

Perjalanan ini akan terhenti ketika noktah itu bermula. Kasih sayang sifat ar-rahman dan ar-rahim dari Illahi memberi banyak kenikmatan dalam bermusafir di alam fana ini. Ummiku dan anak-anakku yang amat kusayangi terima kasih kerana menjadi nadi serta "motivator" yang paling utuh dalam hidup. Tidak lupa buat saudara sesama insan "especaially" Kak Mazidah dan suami kerana bermurah hati menyediakan ruang titipan tinta untuk menitip coretan hidup seharian. Terima kasih Cikgu

Sekian dahulu masa kini. Salam Keamanan
Insani



Rabu, 8 April 2009

DARI SINAR MATA

Assalamualaikum dan salam keamanan
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Dari sinar mata hari ini kita masih mampu dikejutkan dari mati sementara. Syukur alhamdulillah
Celik semakin celik menitip coretan dalam blog ini. Bak kata pepatah "kalau tidak dipecahkan ruyung maskan dapat sagunya". Belajar biarlah berguru agar tidak mendapt ilmu yag sesat. Melihat sesuatu biarlah dengan mata hati Terima kasih kepada semua Cikgu-cikgu blogger. Saya tinggalkan coretan ini dengan bait-bait berikut

Dari sinar mata
Yang begelora
Hati di taman berbunga
Satu impian satu harapan
Mungkin ada sebaliknya
Satu rahsia

Sekian wasssalam
insani