Assalamualaikum dan salam keamanan saudaraku
Alhamdulillah masih bernafas lagi
Alhamdulillah masih bernafas lagi
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang dan ruang untuk bernafas hari ini. Maaf hari ini kurang sihat, tidak hadir bertugas untuk anak-anak didik yang cemerlang. Al maklumlah usia semakin meningkat manakala kudrat semakin berat. Mohon pada Allah tidak bertambah berat dan mudarat.
Hari-hari perjalanan hidup saya semakin murah dengan nikmat dari Illahi. Rasa syukur teramat sangat kerana sejak dua desawarsa inilah baru kenal dengan makanan yang pelik-pelik umpamanya burger, hotdog, pizza, KFC, Mc Donald, White Castle, Merry Brown, A & W dan bermacam-macam lagi. Alhamdulillah lahirnya anak-anak hari ini sudah kenal dengan populariti juadah ini. Menyingkap 25 tahun dahulu hanya kenal kepada ubi kayu rebus, lempeng pisang, variety cokodok dan macam-macam ada. Nostalgia ini jika dicanang kepada anak-anak terasa hairan dan pelik pula mereka.
Selamat tinggal kesengsaraan ini menyingkap kehidupan 20 tahun dahulu. Diceritakan kepada anak-anak umpama seorang panglipulara mengalunkan celoteh kepada rakyat jelata. Ayah dulu hidup susah, kerja banting tulang bergelumang dengan lumpur mengerjakan bendang. Tercucuk onak dan duri merintih dari pohon-pohon getah yang setia kepada "gurunya". Ke hutan bersama dituruni untuk mengutip rezeki yang Allah telah tetapkan. Usaha dengan kegigihan yang menjadi kekuatan untuk meneruskan hidup ini.
Ayah belanja sekolah 20 sen sahaja, anak-anak membulatkan biji mata ... katanya betul ke yah. Ya jawab ayah ringkas. Sebab dahulu nak cari duit susah. Almarhum atuk Salleh dahulu selepas pencen tentera kerjanya menoreh getah. Dapatlah RM 5-10 sehari. Alhamdulillah rezeki yang berkat membawa rahmat. Saya ceritakan lagi "kesengsaraan" hidup bertambah pabila atuk sakit lumpuh hampir 8 tahun. Terlalu sukar rasanya perjalanan hidup masa itu. Ada saudara sepi sahaja, pernah satu ketika ayah terpaksa berhari raya selama 5 tahun dengan baju yang sama. Tak berduit nak membelinya. Orang kampung pula, al maklumlah sama-sama susah. Masa di tingkatan 6 atas dapatlah baju percuma pemberian seorang "pilot". Berkat baju itulah ayah berjaya dalam STPM dengan keputusan yang agak baik.
Ayah pernah makan nasi berlaukkan garam, sapa anak yang kedua sedap ke yah, jawab ringkas dah tak ada apa sedaplah. Di sekolah rakan-rakan yang baik berkongsi bekal dengan saya, seronok rasanya. Saya cakap pada adik-adik mak ngah, pak lang, mak su jangan mengalah. kehidupan perlu diteruskan. Nasib agak baik kerana masih ada almarhum tok nyang ( buyut ) kata orang jawa. Almarhum inilah yang sedikit sebanyak membantu. Janji Allah itu tidak pernah mungkir pada hamba-hambanya. Berkat doa dari kesengsaraan hidup itu saya berjaya menamatkan pengajian di USM.
Kesengsaraan itu tidak berhenti di situ, almarhum ayahanda sudah tidak mampu bergerak kerana strok. Ibu dan mak su yang begitu gigih menjaganya. Mak su berhenti sekolah selepas tingkatan 3. Kesian mak su ye yah..... mak su dahulu pandai ke yah. sapa anak saya yang sulung. Ya mak su pandai tetapi hidup susah kerana almarhum tok tak ada orang nak jaga, kenalah berhenti sekolah. Pesan saya pada anak-anak janganlah malas belajar kerana kelak kita juga akan rugi sepanjang hayat. Pesan almarhum tok Salleh hanya pelajaran sahaja yang dapat ditinggalkan untuk anak-anaknya, kerana harta dunia akan habis. Ilmu pengetahuan akan kekal sampai ke akhirat. Inilah yang menjadi pedoman hidup saya hingga ke saat ini.
Syukur alhamdulillah berkat ketabahan dan ketekunan hidup dengan keredhaan dari Illahi saya masih ada di sini. Rezeki yang dilimpahinya amat-amat disyukuri. Harta setinggi gunung kalau dikaut hari-hari akan habis, ilmu dikaut hari-hari akan penuh dalam kotak minda tersimpan utuh dalam dada. Subur berkembang jika disebarkan kepada insan-insan yang lain. Jadi bekal penyuluh tat kala kita berada di alam kekal abadi kelak.
Selamat tinggal kesengsaraan di ungkapkan dengan bait-bait berikut. Kalau pernah mendengarnya bisik-bisiklah dalam hati ye.
Langkah demi langkah
Kita lalui bersama
.................................
................................
Selamat tinggal kesengsaraan
Selamat tinggal penderitaan
Terima kasih atas pengalaman
Yang kau berikan
Air mata menjadi permata
.............................................
Wassalam dan salam keamanan
Insani
atuk cadang kan ekau buek buku ,,,,,
BalasPadam