Alhamdulillah masih bernafas lagi
Subhanallah, Alhamdulillah Walailahaillallah Wallah Huakbar. Janji Allah swt ke atas hambanya tidak cepat sesat dan tidal lewat sesaat. Syukur ke hadrat Maha Pencipta kerana diberi ruang bernafas untuk waktu yang ada. Kudrat darinya memanggil saya menitip lagi dalam tinta IT ini untuk buat sekian kalinya. Perjalanan ini ini akan sampai kepada penghujungnya kelak. Janji pertemuan pasti pada perpisahan, janji kelahiran sudah pasti pada kematian. Sebijak-bijak manusia menurut Imam Al-Ghazali ialah selalu mengingati mati setiap waktu. Mengapa? mengajar kita senantiasa tidak alpa bahawa dunia yang kita bermusafir selama ini amat rapuh dan hanyalah pinjaman sementara. Musafir kita sekadar waktu mencari yang perlu sahaja. Bekalan untuk kehidupan hakiki yang Allah janjikan kepada hamba-NYA yang senantiasa bertakwa.
Saya kehilangan lagi insan yang disayangi iaitu nenda, tanggal 6 Mei 2009 deringan telefon dari adik menyampaikan perkhabaran sedih ini. Nenda saya meninggal dunia pada jam 4.45 pagi ketika berusia 89 tahun. Begitu panjang talian hayat Allah berikan kepada nenda saya ini. Teringat kembali almarhum datuk berusia 93 tahun. Kini tiada lagi mereka. Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana almarhum dapat melihat saya dari lahir sehinggalah berjaya. Saya merupakan cucu yang tertua dalam keluarga ini.
Bonda tersayang dalam keadaan uzur dengan kesan penyakit kanser masih sempat memeluk dan menatap nenda yang disayangi buat kali terakhir. Katanya nenda menangis dan memohon ampun serta maaf segala salah dan silap selama hidup. Begitulah cerita bonda tersayang. Rasa terharu dan sayu mendengar cerita itu. Saya khabarkan kepada bonda sabar kerana semua ini ketentuan Illahi yang pasti setiap insan tempuhi. Saya redha dan menerima takdir Illahi ini
Bila direnung kembali insan-insan tua yang saya kenali sedari kecil begitu ramai yang sudah kembali menemui Pencipta-NYA. Menyedari diri ini makin dihambat usia, perjalanan hidup ini mesti diteruskan yang pergi tetap pergi usah ditangisi. Jadikan ini satu jalan keinsafan kepada kita yang hidup bahawa segala persoalan alam barzakh itu benar, soal mungkar nakir itu benar. Ajal dan maut itu adalah benar masa dan ketikanya dalam rahsia Allah azzawajalla. Saya berbicara soal ini untuk mengajkl saudara sekalian sama-sama meningkatkan amalan hidup yang hanya sekelumit sahaja diberi peluang masa.
Buat rakan cikgublogger saya mengiangat diri saya dan diri rakan-rakan agar setiap denyut nadi yang berdenyut itu akan terhenti bila-bila masa. Tingkatkan Zikrullah setiap masa, jangan lalai kerana ketaatan Izrail terhadap Allah tidak pernah mungkir.
Sekian buat kali ini, pastikan diri kita dalam keadaan sejahtera dan berjalan dalam keamanan
Saya akhiri titipan kali ini dengan bait-bait ini
Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana
Akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa
Selamat tinggal kepada semua
Berpisah kita selamanya
Sekian buat semua, wassalam dan salam keamanan
Insani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan