Sabtu, 16 Mei 2009

NOSTALGIA CIKGU KEPADA GURU

Assalamualaikum dan salam keamanan kepada saudara semua
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Salam 16 Mei Buat Semua Guru
Alhamdulillah dipanjat kesyukuran kepada pencipta kerana saat ini masih diberi sedikit ruang dan peluang buat saya menitip nota IT khas untuk salam 16 Mei. Denyut nadi, degup jantung ini terasa tenang. Kudrat dari Allah memberi kekuatan buat saya berkongsi perngalaman perjalanan dari cikgu kepada guru. Kenapa saya titipkan dari cikgu kepada guru. Sebentar Awang Batil akan mula berbicara.
Terima kasih cikgu-cikgu saya yang telah mendidik menjadikan saya guru pada hari ini. Cikgu Aris mula mengajar saya menjadi pengejar bola yang baik, Almarhum Ustaz Muhammad menjadikan saya mampu membaca Al-Quran dengan baik, Cikgu Fatimah menjadi ibu angkat yang banyak menjadikan saya lebih dewasa, Cikgu Jaafar menggilap saya menjadi seorang pemimpin dalam sekolah, Almarhum Tn Hj Othaman menjadikan saya seorang yang berani dan tidak mudah putus asa. Pn Hjh Maisenah menjadikan saya yakin pada kemampuan diri, Pn Hjh Adziyah pengetua yang memberikan keyakinan penuh untuk saya meniti menara gading. Terima kasih buat semua cikgu saya, segala jasa hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.
Merangkak belum bertatih 16 Jun 1991
Bila bermulanya perjalanan saya sebagai guru, tanggal 16 Jun 1991 membuka lembaran baru hidup sebagai guru. Saya diarahkan mengajar di kawasan FELDA Palong 4 SMK Sri Perpati nama yang telah saya calon bersama-sama rakan guru. Cikgu Saiful, Amran, Hisham,Cikgu Wan, dan Ust Syed , nun jauh di pedalaman. Seronok dan serasi dengan jiwa saya walau pun jauh di dalam hutan. Di sana menghambakan diri mendidik anak bangsa dalam kalangan murid pelbagai darjat. Rata-ratanya golongan marhaien, ada yang bijak dan tidak kurang pula yang jauh dari ketinggian akal. Namun begitu saya rasa bertuah mampu menyumbang secebis ilmu kurniaan Allah untuk dikongsi bersama dengan anak-anak di sana. Masih ingat lagi senyum tawa, tangisan Aspalela, Monaliza, Ramlah, Khidir, Roslan, Rosli, Zainun, Siti Sarah, Saiful, Kadariah serta sentuhan insan istimewa Aishah yang sengau. Banyak pengalaman pahit getir ketika di sana, pernah mandi air paya, menyusuri jalan tanah merah dan berselut. Masih bermain jelas dalam kotak minda ini seolah-olah mereka dekat dengan saya. Saya menabur bakti di sana sehingga 30.04.1994. Jika mahu ditipkan kisah perjalanan hidup terlalu panjang. Cukup dengan sekadar perkataan terima kasih anak-anak FELDA kerana anda semua memberi saya berpengalaman hidup di sana. Kebanggan saya pada mereka dizahirkan pabila SPM 1994 hampir 40 orang anak didik dari kelas Elit berjaya memperolehi pangkat 1. Alhamdulillah tidak sedar air mata mengenangi di kelopak mata. Cinta kenangan silam di FELDA saya tinggalkan dengan hati yang begitu berat, namun apakan daya ketentuan Allah membawa saya ke bumi Selangor. Anak-anak di sana tidak mahu melepaskan dan rasa begitu hiba, tetapi dikuatkan hati. Terpancar diwajah Aishah sedih, ingat lagi katanya cikgu duduklah di sini, begitu juga khidir, cikgu tak sayang kami ke. Zainun dan Siti Sarah terima kasih atas segala ilmu cikgu. Kata-kata itu sungguh mengesan dalam nurani ini. Selamat tinggal anak-anaku, manfaatkan ilmu yang cikgu berikan selama ini. Kini selepas 15 tahun anak-anak ini mungkin sudah ada kehidupan sendiri. Mungkin sudah jadi golongan yang bijak pandai dan para ilmuan. Bangganya saya dapat berkhidmat di bawah dua orang Pengetua Tn Hj Khalid b Abdullah dan Tn Hj Abd Razak b Samah. Terima kasih tuan haji.
Bertatih lalu menapak 1 Mei 1995
Pengembaraan saya sebagi musafir guru terhenti sebentar di daerah Kuala Selangor. Ditinggalkan cinta kenangan silam di FELDA, membuka lembaran baru sebagai guru di sini. 10 tahun di SMK Jeram telah mengajar saya bertatih dan akhirnya berlari mendambakan diri menjadi guru untuk anak bangsa di sini. Bermula dengan guru didiplin sehinggalah dipencenkan, Bangganya saya kerana diberi peluang menjadi guru kelas selama 14 tahun, banyak yang dipelajari namun masih kurang. Jadikan diri ini seperti cawan kosong yang sedia menerima dengan hati terbuka apa sahaja ilmu yang baik. Di sini saya mula belajar menapak menjadi guru yang baik. Perjalanan nampak baik, namun dugaan Allah tetap datang menguji hambanya. Saya diuji dengan didatangkan musibah sakit, hilang keyakinan diri, Berkat doa dan kesungguhan semuanya dapat ditempuhi. Alhamdulillah syukur dengan nikmat Allah yang melimpah ruah. Di sini saya diberi anugerah menghargai sumbangan dalam dunia pendidikan APC tahun 2002. Itulah nikmat yang Allah berikan, dalam keadaan musibah datang nur harapan untuk saya.. Anak murid silih berganti yang berjaya, gagal dalam pelajaran sudah menjadi asam garam dunia menjadi guru. Alhamdulillah ramai yang berjaya menjadi insan terpilih biarpun tidak tinggi pangkat tetapi tidak gagal dalam hidup. Anak-anak didik ini ramai sudah berpasangan seperti Adam dan Hawa. Bila ditanya berapa anak 2, 3, Alhamdulillah sudah bergelar datuk rupanya saya. Masih ingat lagi Halim, Hisham, dan terkadang terlupa diingatkan oleh mereka. Cikgu kenal saya, jawab ringkas InsyaAllah kenal. Banyak pengalaman suka duga di sini terhenti pada 31 Disember 2003. Hampir 13 tahun bermusafir sebagi guru. Terima kasih kepada Pengetua Tn Hj Harun, Tn Hj Ubaidah, En Mohd Yusof, Pn Hjh Che Nah dan Pn Hjh Norsilawati. Terhenti di sini sudah dididik sebagai guru oleh 7 orang pengetua. Alhamdulillah
Berlari dan memanjat 5 Januari 2004
Perjalanan musafir sebagai guru saya terus ke SMK Sg Kapar Indah dan IsyaAllah saya tetapkan tekad untuk menamatkan perjalanan sebagai guru di sini. Onak duri berlari dan memanjat di sini banyak mengajar saya menjadi seorang yang semakin matang. Dari seawal anak kecil dididik sehingga ke setinggi berdiri lebih dari kita anak yang dididik. Mudahnya dari tingkatan 1 hingga 6 Atas. Alhamdulillah dari guru biasa diberi peluang menjadi pentadbir kecil yang naif. Berpeluang menimba cangkir ilmu yang amat luas. Terkumpul sedikit yang boleh dimanfaat untuk sisa perjalanan yang tinggal. Hampir masuk tahun ke 6 di sini. Cukup mecabar, gembira, masam, masin, pahit, manis dan tawar terpaksa ditelan. Buat semua rakan guru yang dikagumi dan anak didik yang diasayangi. Terima kasih buat semua. Kita membina rumah yang ada kini untuk generasi akan datang. Bual bicara saya di sini sebagai guru mengajak menyelami kesukaran dan cabaran yang semakin hebat menghunjam profesion ini. InsyaAllah ada masa 13 tahun lagi untuk saya bermusafir sebagai pendidik. Mohon doa Allah panjangkan usia ini agar dapat melihat anak-anak didik menjadi guru pula.
Titipan tinta bernoktah di sini. Buat semua guru Selamat Hari Guru. Saya tinggalkan titipan ini dengan bait-bait ini
Guru penyambung warisan ilmu
Ilmu itu subur keranamu
Keikhlasan didikanmu menjadu mercu
Hidup mekar tanpa noktah
Sekian, Wassalam Salam keamanan
Insani

1 ulasan:

  1. catatan anda di ski anda terlupa menyebut beberapa rakan karib anda umpamanya mazlan,razak,shafiron,jaimah,sabri jaafar,abidin ahmad...aku juga kau tak pernah sebut pun...

    BalasPadam