Isnin, 18 Mei 2009

KERANA USTAZ MUHAMMAD

Assalamualaikum dan salam keamanan buat saudara semua
Alhamdulillah masih bernafas lagi

Rasa syukur teramat sangat kerana diizinkan Illahi untuk bangun dan berdiri pada hari ini. Terasa denyutan nadi dan degupan jantung ini masih baik. Alhamdulillah saya diberi ruang dan peluang ketika ini untuk mencoret dalam titipan tinta IT ini. Teringat kata-kata Ustaz Muhammad, bahawa Rasulullah pabila diajari malaikat Jibrail membaca, Baginda tidak tahu, disuruh lagi iqra', maka akhirnya terhambur dari mulut baginda bacaan surah dari Al-Quran nur karim. Pabila saya amat-amati peristiwa ini maka terkenang kembali jasa Almarhum Ustaz Muhammad yang tidak mampu dibalas. Hanya doa restu ke hadrat Illahi moga roh dirahmati dan ditempatkan dalam golongan orang beriman.
Tinta saya berbicara kali ini umpama Awang Batil menceritakan perjalanan hidup manusia sejagat. Saya suka berkongsi pengalaman bersama Ustaz Muhammad. Pada ketika berumur 11 tahun dalam darjah lima saya bersekolah seperti kanak-kanak lain. Malangnya, saya tidak tahu membaca tulisan jawi dan apatah lagi muqaddam serta kitab Al-Quran. Sedih rasanya hati ini. Hari demi hari hanya mampu menghafal sahaja huruf jawi, namun begitu hidayah dari Allah datang memilih saya untuk iqra' surah dalam kitab suci Al-Quran. Ustaz Muhammad menegur , Hanafi saya nak pilih awak menyertai pertandingan tilawah Al-Quran. Ketika itu rasa seram sejuk badan ini. Saya bertanya kembali, kenapa ustaz?. Jawabnya ringkas Shamsul dah pindah sekolah. Ustaz pilihlah orang lain. Ustaz nak awak juga.
Hidayah Allah Itu Maha Suci
Subhanallah, inilah yang dikatakan hidayah. Saya malu nak mengaku tak pandai mengaji, tetapi ustaz seakan-akan faham isi hati ini. Jangan takut Hanafi ustaz boleh ajar dari mula. Pengajian saya bermula, setiap hari selepas maghrib saya ke rumah ustaz Muhammad berjalan kaki untuk belajar mengaji membawa ke waktu isyak. Pengalaman cukup berharga tidak disia-siakan oleha saya. Banyak masalah kekangan timbul, kadang kala kena marah, di denda namun saya redha. Apa yang memalukan saya, anak ustaz ini perempuan satu kelas dengan saya. Hari-hari pabila waktu sekolah selalu dia senyum dengan saya. Bukan apa-apa, bukan dia suka, bukan dia jatuh hati tetapi setiap kali kena marah dan didenda oleh ustaz Muhammd dia ada ketika itu. Tak apalah nak mengaji katakan, kena ketawa ke, ditertawakan saya diam sahaja. Baik hati juga anak ustaz ini tak pernah diceritakan tentang kebebalan saya. Pada ketika hendak pulang kadang kala takut kerana jarak rumah dengan ustaz dengan rumah saya jauh. Kena beranikan diri, kita orang lelaki. Pernah pula beberapa ketika dikejar oleh anjing, pontang-panting saya lari balik ke rumah. Alhamdulillah sampai juga ke rumah. Kalau ustaz baik hati dihantar balik dengan kereta Morris Minor. Seronok dapat naik kereta, itulah ragam kanak-kanak dahulu.
Di Sebalik itu ada Nur Laily
Berkat kesungguhan, kesabaran dan ketabahan dalam masa tiga purnama Alhamdulillah saya berjaya iqra' surah dalam Al-Quran dengan baik dan lancar. Membaca jawi juga sudah lancar, menulis jawi juga baik. Tidak seperti tiga orang pendekar bujang lapuk diejakan huruf jawi dibunyikan makhluk yang lain. Saya berterima kasih teramat sangat dengan ustaz Muhammad. Tiba pada hari pertandingan saya bersama rakan sekelas Misni bt Wardi turut serta dalam tilawah itu. Uniknya tilawah ini diadakan di dalam surau sekolah. Seingat saya peristiwa bersejarah ini berlangsung pada tahun 1978 ketika belajar di Port Dickson. Saya orang kelima memperdengarkan bacaan surah Al-Baqarah ayat 10-20. Macam-macam rasa ada masa itu, tetapi semua dapat ditempuhi dengan baik. Saya cukup bangga walau pun pada awalnya tidak pandai iqra' Al-Quran. Semuanya berubah kerana Ustaz Muhammad. Ketika saat keputusan diumumkam rasa berdebar juga, saya hanya berjaya meraih tempat keempat dari 15 peserta yang bertanding . Tiada bentuk piala, medal, kitab yang diperolehi tetapi paling saya ingat saguhatinya RM 1.00. Bangga rasanya Allah yang tahu. Syukur Alhamdulillah.
Aturan Allah Mengatasi Segala-galanya.
Jasa ustaz Muhammad saya tetap kenang sehingga ke akhir hayat. Jika tidak kerana ustaz memilih saya pada ketika itu, nescaya akan jadi seperti tiga pendekar bujang lapuk dalam filem P. Ramlee. Kasih Allah kepada Ustaz Muhammad lebih mendahului kita. Saya diberi perkhabaran semasa sudah lama berpindah ke tempat kelahiran di Negeri Sembilan Ustaz telah pergi menemui Pencipta-NYA. Ketika itu saya berada dalam tingkatan 6 Bawah. Bergenang air mata mengenang kembali jasanya yang begitu besar sehingga saya faham iqra'. Doa dan bacaan ummul kitab Al-Fatihah dibacakan semoga Ustaz Muhammad mendapat kerahmatan Allah. Terima kasih Keranamu Ustaz Muhammad.
Buat pembaca sekalian begitulah besarnya jasa seorang insan yang begelar guru atau ustaz sehingga saya mampu sampai ke peringkat ini. Oleh itu jangan senantiasa menyalahkan takdir sebaliknya muhasabahlah kelemahan diri setiap kali sebelum kembali ke kematian sementara.
Saya akhiri titipan ini dengan bait-bait ini
Bila izrail datang memanggil
Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur jasad di pembaringan
Tiada guna harta
Hanya amalan
Manjadi bekalan
Sekian, wassalam dan salam keamanan
Insani

Tiada ulasan:

Catat Komen