Ahad, 19 April 2009

MUTIARA PINJAMAN


Assalamualaikum dan salam keamanan saudaraku
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Syukur alhamdulillah masih ada peluang dan ruang untuk menitip dalam tinta IT ini. Mutiara suatu keajaiban yang dianugerahi oleh pencipta "khalik untuk semua pemilik sementara yang bergelar "makhluk". Anugerah akal yang dikurnai kepada makhluk yang bergelar manusia terpilih menjadi taruhan untuk melestarikan alam fana ini. Namun begitu sesuai dengan sifat manusia itu sering kali alpa maka wujud dengan sapaan insan. Oleh itu saranan saya agar semua saudara sesama insan di dunia itu saling sedar lagi menyedari antara satu sama kita. Maka Allah memilih manusia menjadi nakhoda di muka bumi kerana memiliki mutiara yang cukup indah, berkelipan iaitu kebijaksanaan akal tanpa padam kecuali jasad terpisah dari badan. Buat santapan minda sahaja


Masa senggang 48 jam ini sebahagian besar menjadi penjaga kepada mutiara hatiku yang Allah pinjamkan buat seketika. Anak-anak adalah mutiara hidup saya yang sementara. Disinilah saya sebagai abi belajar menggunakan kebijaksaan menilai ketulenan mutira ini. Kadang kala kerlipan terpancar jauh sinar dan ketika lain pudar. Inilah realiti hidup yang saya lalui selama 16 tahun bergelar abi. Empat mujahidin ini Allah kurnia untuk saya, menjadikan satu amanah yang amat besar serta berat jika saya gagal mengilapnya menjadi mutiara kubra. Alhamdulillah sejauh ini Allah masih menunjukkan sifat ar-rahman dan ar-rahim kiranya kita dekat dengan-Nya.


Alhamdulillah dikurnai dengan dua mutiara penyegar dan dua mutiara penawar untuk saya dan umairah. Bertuah sekali Allah memberi peluang untuk menjaga, mengasuh, membesarkan, mengubati, mengajari, mendidik dengan harapan satu ketika mutiara ini akan mendoakan kesejahteraan abi dan umairah tatkala sudah tiada. Mutiara-mutiara ini ketika pudarnya, hati saya akan rasa letih, amarah dan kecewa. Lekas-lekaslah saya gilap dengan mencari as-sabirin (sabar). Tentu sekali kita bergelar insan sering kali dihambat sifat-sifat amarah, penawarnya tatap wajah-wajah mutiara ini, perhatikan ucapan-ucapannya, selinapkan perasaannya. Barulah saya tahu anak-anak ini belum cukup kental akalnya.


Hari ini umairah masih sibuk dengan tugasannya, abi bertugas sebagai pengasuh. Tiada apa yang hendak dihairankan. Alah bisa tegal biasa, mutiara-mutiara hatiku hari ini baik-baik belaka. Mudah mendengar kata, mudah disuruh dan ada juga sedikit kecelaruan. Biasalah anak-anak katakan. Hari ini abi tak masak , beli sahaja makanan mudah sedikit. Almaklum sibuk mengemas istana. masih belum usai lagi. Petang nanti ajak mutiara penyegar mengemas depan istana, insyaAllah semua berjalan dengan baik. Alhamdulillah


Saya berhenti di sini dahulu, nanti ada peluang dan ruang boleh berkongsi titipan ini. Apa-apapun mutiara-mutiara yang saudaraku miliki, jagailah ia sebaik mungkin kerana semuanya adalah pinjaman sementara. Cinta pada mutiara ini hanya seketika , ada yang kekal abadi Allah yang Esa. Saya akhiri titipan dengan bait-bait ini

Keunggulan cinta
Dari sinar mata
Yang bergelora
Hati di taman berbunga

Satu impian
Satu harapan
Mungkin ada di sebaliknya
Satu rahsia

Engkau di mataku
Adalah cahaya
Perjalananku
Terang menyuluh segala
Yang terembunyi

Lamaku cari
Sudah pasti
Ada jawapannya
Kemungkinan itu


Wassalam dan salam keamanan
Insani



Tiada ulasan:

Catat Komen