Selasa, 21 April 2009

ISTANA MENANTI


Assalamualaikum dan salam keamanan saudara
Alhamdulillah masih bernafas lagi


Bersyukur teramat sangat ke hadrat Illahi kerana masih diberi kudrat untuk menitip dalam tinta IT. Pertamanya ucapan terima kasih kepada wak telah mengalihkan detik masa ke tempat sepatutnya. Berbicara soal istana kita sering mengaitkannya dengan raja dan para pembesar, Selaku golongan marhaien kita sebenarnya memiliki istana. Sering kali diungkapkan rumah yang kita diami. Orang sering menyebut mahligai impian. Bagi saya teralau tinggi darjat kedudukan mahligai itu, biarlah kita berada dalam kelompok sederhana antara pondok dan mahligai iaitu istana.







Saya dan humaira telah membina istana menanti sejak awal tahun 1999, dengan simpanan sendiri. Hampir RM 50,000 tunai dibelanjakan demi istana menanti. Kenapa saya gelarnya istana menanti, banyak sebab musababnya. Istana yang saya bina lama dinanti untuk siap, kemudian menanti masa tuannya boleh masuk, menanti ibu ayah pulang dari kerja, anak-anak balik dari sekolah. Saban hari istana ini terus menanti dengan setia tanpa jemu.


Alhamdulillah istana yang mampu saya bina tidak terlalu besar dan kecil, apa yang penting bersederhana kerana ini dituntut dalam Islam. Istana ini banyak berjasa dalam masa sepuluh tahun ini, memberi ruang dan peluang untuk berteduh selagi ada nafas penghuninya. Dipagari dengan kehijauan warna alam ciptaan Illahi, diselimuti dengan baju krim, dipayungi dengan topi biru. Saya dan keluarga tetap bangga walau pun istana ini tidak seindah mana kerana pasti satu masa ia tidak akan menanti penghuninya lagi............




Istana menanti ini sebenarnya adalah milik orang bukan saya yang punya. Terbaca saya satu kisah di negara arab antara seorang sultan dengan rakyat biasa. Diceritakan seorang musafir tumpang tidur di tepi pagar istana, lalu dimarahi oleh pengawal. Maka si musafir ini bertanya dimanakah tempat saya sedang tidur?. Jawab pengawal, istana raja. Bertanya lagi milik siapah istana ini?. Jawab pengawal, Raja. Oh begitu, Boleh izinkan hamba bertemu dengan raja. Maka Pengawal mengizinkannya. Ketika berhadapan dengan raja, si musafir bertanya milik siapakah istana ini? Raja dengan bangga menjawab milik betalah. Oh begitu!. Lalu si musafir bertanya lagi jika tuanku mangkat milik siapakah istana ini?. Raja menjawab milik anakanda betalah. Si musafir mencelah oh! jadi istana ini bukan milik tuanku ya. Raja terpinga-pinga.





Teladan yang dapat kita diambil dari secebis kisah di atas ialah semua yang kita miliki ini hanyalah pinjaman untuk sekadar waktu. Istana yang dibina indah rupa-rupanya untuk orang lain. Dari kisah inilah saya mengambil ikthibar istana menanti kita bina hanya milikan sementara walaupun dalam syarat perjanjian hak milik bebas, pajakan selagi dunia ini wujud. Apa-apa pun bersederhanalah. Kerana inilah yang diajari dalam Islam sebagai ad-din.






Saya tinggalkan istana menanti dengan bait-bait ini



Kain putih, selimut putih

Mari kita bawa sembahyang

Allah kasih, Muhammad kasih

Rasululullah bertambah sayang






Ingatlah kehidupan dunia hanya cebisan air yang terlekat di jari apabila dicelupkan ke laut. Keluasan laut itulah hidup kita yang sebenar . Tiada tebing dan tiada sempadannya, sama-samalah kita renungkan,






Wassalam dan salam keamanan

Insani

Tiada ulasan:

Catat Komen